Connect with us

ALHIJRAH NEWS

LRT KELANA JAYA KERAP TERGENDALA, PAKAR GESA PERKEMAS PENYELENGGARAAN CEGAH GANGGUAN PERKHIDMATAN

UTAMA

LRT KELANA JAYA KERAP TERGENDALA, PAKAR GESA PERKEMAS PENYELENGGARAAN CEGAH GANGGUAN PERKHIDMATAN

Gangguan berulang LRT Laluan Kelana Jaya terus mengundang keresahan pengguna apabila kesesakan luar biasa berlaku di beberapa stesen. Pakar menggesa Rapid KL melaksanakan penyelenggaraan pencegahan dan mengenal pasti punca sebenar kerosakan tanpa menunggu komponen hampir rosak.

KUALA LUMPUR: Rapid KL digesa melaksanakan analisis menyeluruh terhadap data dan corak kerosakan bagi mengenal pasti risiko kegagalan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) lebih awal, susulan gangguan berulang di Laluan Kelana Jaya yang terus menjejaskan perjalanan pengguna.

Pakar Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Madya Dr Ng Choy Peng berkata, langkah itu penting bagi membolehkan penyelenggaraan pencegahan dilaksanakan sebelum kerosakan berlaku, khususnya terhadap komponen yang dikenal pasti berisiko mengalami kegagalan.

Menurutnya, pendekatan penyelenggaraan berdasarkan keadaan komponen (condition-based maintenance) yang dilaksanakan ketika ini mungkin tidak lagi mencukupi berikutan kekerapan gangguan perkhidmatan.

“Pada masa sekarang, kita perlu ada preventive maintenance di mana kita memeriksa dan menggantikan komponen mengikut jadual. Jangan tunggu sehingga saat akhir atau komponen hampir rosak baru kita buat penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk “Gangguan LRT: Masalah Berulang, Pengguna Terus Resah”, terbitan Bernama TV, petang ini.

Ng berkata, analisis berkenaan perlu disusuli usaha mengenal pasti punca sebenar setiap kerosakan, khususnya apabila gangguan kerap melibatkan jenis tren atau peralatan yang sama.

Kegagalan mengenal pasti punca sebenar boleh menyebabkan kerosakan terus berulang pada komponen atau sistem lain meskipun tindakan pembaikan telah dilakukan.

Sehubungan itu, Rapid KL digesa memperkukuh pangkalan data penyelenggaraan bagi memastikan tahap penggunaan dan jangka hayat setiap komponen dapat dipantau secara lebih sistematik.

“Maklumat itu boleh membantu pihak pengendali menentukan bila sesuatu komponen perlu diperiksa, diselenggara atau diganti sekali gus mengurangkan risiko kerosakan tidak dijangka,” tambah beliau.

Ng berkata, langkah berkenaan semakin penting memandangkan Laluan Kelana Jaya telah beroperasi sejak 1998, manakala proses penggantian tren baharu dijangka bermula pada 2029 dan selesai pada 2031.

Tempoh menunggu itu memerlukan penyelesaian lebih proaktif bagi memastikan kebolehpercayaan perkhidmatan LRT terus terpelihara, terutama apabila sistem berkenaan digunakan secara meluas untuk perjalanan harian.

Terdahulu, ramai pengguna LRT Laluan Kelana Jaya meluahkan kekecewaan menerusi media sosial selepas terpaksa menunggu lama di platform berikutan tren tidak tiba mengikut jadual, sekali gus menyebabkan kesesakan luar biasa di beberapa stesen.

Antara stesen yang terjejas termasuk Masjid Jamek, Dato Keramat, Pasar Seni dan Abdullah Hukum apabila pengguna terpaksa beratur panjang sehingga ke luar pagar stesen. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading