
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan seluruh rakyat Malaysia untuk berhenti menggunakan aplikasi navigasi Waze.
Ia selepas beliau memutuskan penggunaan aplikasi Waze dilarang dalam kalangan seluruh penjawat awam bagi melindungi maklumat kerajaan serta data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri, keputusan tersebut diambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd. selaku pengawal data penguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
“Maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.
“Perdana Menteri menyarankan seluruh rakyat Malaysia untuk beralih kepada aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu dengan mengambil kira jaminan keselamatan serta perlindungan data peribadi yang ditawarkan,” katanya hari ini.
Pendirian kerajaan MADANI adalah tegas dan pihaknya akan menutup sebarang ruang yang boleh dimanfaatkan rejim Israel untuk mengancam keselamatan negara dan rakyat, tambahnya.—AlHijrah Online