Connect with us

ALHIJRAH NEWS

ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM DILARANG GUNA WAZE SERTA-MERTA – KSN

DALAM NEGARA

ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM DILARANG GUNA WAZE SERTA-MERTA – KSN

Saranan itu dibuat berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat, susulan penggunaan Waze yang terikat di bawah undang-undang kerajaan Israel.

Anggota perkhidmatan awam dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN), yang bersidang semalam.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi surat bertarikh 20 Okt memaklumkan, Mesyuarat JKSN Bilangan 3 Tahun 2026 itu dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shamsul Azri berkata semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan hendaklah memastikan keputusan berkenaan dimaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuk agensi dan jabatan berkaitan, untuk dilaksanakan serta-merta.

“Sebarang pertanyaan atau keperluan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan arahan ini, bolehlah dikemukakan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, selaku agensi penyelaras bagi perkara ini,” menurut surat itu.

Beliau turut meminta kerjasama dan perhatian serius bagi memastikan keputusan berkenaan dipatuhi secara menyeluruh pada peringkat kementerian, jabatan dan agensi masing-masing.

Surat berkenaan ditujukan kepada semua ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan persekutuan, ketua pengurusan badan berkanun persekutuan, setiausaha kerajaan negeri serta ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.

Semalam, Perdana Menteri menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi tempatan TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.

Anwar berkata saranan itu dibuat berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat, susulan penggunaan Waze yang terikat di bawah undang-undang kerajaan Israel.

TuJu dibangunkan oleh LLM dengan kerjasama Prosignal Consortium Sdn Bhd dan dilancarkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 26 Nov 2025.

Aplikasi yang tersedia di Google Play Store dan Apple App Store itu, menyediakan maklumat laluan, jarak perjalanan, anggaran masa ketibaan (ETA), tol dan trafik masa nyata, selain kemudahan R&R, akses kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung serta bantuan kecemasan.–AlhijrahOnline


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading