
PASIR MAS: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan anggota polis menggunakan parang hingga mengalami kecederaan parah di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Sabtu lalu.
Tertuduh, Muhammad Syahid Che Mat, 30 membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkipli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan Koperal Mohd Afiq Amran menggunakan parang sehingga mendatangkan kecederaan parah.
Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah pada jam 1.35 tengah hari Sabtu lalu.
Mangsa dilibas dengan parang oleh tertuduh ketika operasi membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah.
kejadian berlaku pada 1.35 tengah hari ketika sepasukan anggota JSJN IPK Kelantan bersama anggota Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu menyerbu sebuah rumah di kampung berkenaan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aiysha Na’ilah memohon hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran memandangkan mangsa dalam kes ini adalah seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
Malah katanya, tertuduh memang berniat untuk mendatangkan kecederaan kepada mangsa sehingga mangsa mengalami kecederaan parah termasuk keretakan tulang.
Muhammad Syahid pula memohon hukuman ringan dikenakan selain tidak mengenakan hukuman sebat.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan dari tarikh tertuduh ditangkap pada Sabtu lalu.—Alhijrah Online