KUALA LUMPUR: Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Pulau Pinang kembali dibuka dan beroperasi seperti biasa esok.
Di SELANGOR, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam kenyataan memaklumkan aktiviti luar ditangguhkan dengan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka.
Pihak pentadbir sekolah pula perlu sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) serta memberikan perhatian khusus kepada murid berisiko tinggi.
“Ibu bapa atau penjaga yang bimbang tentang kesihatan anak-anak dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah,” menurut kenyataan itu.
JPN Selangor turut menasihatkan pihak berkaitan hanya merujuk kepada saluran rasmi atau pihak sekolah untuk mendapatkan maklumat sahih dan terkini.
Di NEGERI SEMBILAN, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memaklumkan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh ini hendaklah ditangguhkan dan dijadualkan semula oleh pihak sekolah susulan situasi jerebu yang masih melanda negara.
“Ketetapan ini turut terpakai kepada semua peperiksaan dalaman yang dikendalikan oleh pihak sekolah. Semua aktiviti di luar bilik darjah hendaklah dihentikan sekiranya bacaan IPU melebihi 100,” menurut kenyataan itu.
Di MELAKA, JPN dalam kenyataan memaklumkan pihak pentadbir sekolah hendaklah sentiasa memantau bacaan IPU daripada Jabatan Alam Sekitar serta memberikan perhatian khusus kepada murid yang berisiko tinggi.
JPN Melaka turut menasihatkan ibu bapa, penjaga dan warga sekolah supaya sentiasa merujuk saluran komunikasi rasmi JPN Melaka atau pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini.
Sementara itu, di PAHANG, JPN dalam kenyataan memaklumkan semua sekolah di daerah Bentong beroperasi seperti biasa, namun semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.
Semua sekolah di daerah lain juga beroperasi seperti biasa.
“Sebarang perubahan berkaitan pengoperasian sekolah akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Situasi sama turut direkodkan di PULAU PINANG, justeru Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dalam kenyataan menggalakkan murid memakai pelitup muka dan minum air secukupnya, selain meminta pihak sekolah memastikan bekalan air minuman mencukupi.
“JPNPP akan terus memantau perkembangan kualiti udara bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan murid serta warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu.–BERNAMA