
Foto: AFP
WASHINGTON: Sembilan negara anggota telah menjanjikan dana awal berjumlah AS$7 bilion untuk tabung pembinaan semula Gaza, dalam mesyuarat pertama Lembaga Keamanan di Washington.
Memetik laporan Al-Jazeera, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, AS akan menyumbang AS$10 bilion kepada lembaga berkenaan, namun tidak memperincikan tujuan khusus penggunaan dana tersebut.
Selain AS, Kazakhstan, Azerbaijan, Emiriah Arab Bersatu, Maghribi, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Uzbekistan dan Kuwait telah membuat bayaran pendahuluan bagi usaha pembinaan semula wilayah Palestin itu.
“Setiap dolar yang dibelanjakan adalah pelaburan dalam kestabilan dan harapan kepada rantau yang lebih harmoni,” kata Trump.
Bagaimanapun, jumlah dana yang dijanjikan itu masih jauh daripada anggaran AS$70 bilion yang diperlukan untuk membangunkan semula Gaza selepas lebih dua tahun peperangan yang memusnahkan infrastruktur di wilayah berkenaan.
Selain dana, lima negara turut bersetuju menyertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) bagi Gaza iaitu Indonesia, Maghribi, Kazakhstan, Kosovo dan Albania.
Walaupun dana dan komitmen ketenteraan mula digerakkan, mampukah pelan ini benar-benar menamatkan kitaran konflik di Gaza, atau sekadar menambah satu lagi lapisan diplomasi dalam krisis yang belum berpenghujung? – Alhijrah Online