Connect with us

ALHIJRAH NEWS

GUNUNG BERAPI ANAK KRAKATAU TERUS MELETUS

DUNIA

GUNUNG BERAPI ANAK KRAKATAU TERUS MELETUS

Anak Krakatau terus meletus dengan bunyi dentuman dan pancutan lava, namun pihak berkuasa memaklumkan struktur gunung berapi itu ketika ini tidak dianggap mampu mengalami keruntuhan pada skala yang boleh mencetuskan tsunami.

JAKARTA: Gunung berapi Anak Krakatau di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera terus meletus pada pagi Sabtu dengan bunyi dentuman dan deram-derum kedengaran dari pos pemerhatian, selain aktiviti pancutan lava.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata, letusan bermula pada 11.07 malam waktu tempatan pada Jumaat dan berterusan sepanjang tempoh pemerhatian dari tengah malam hingga 6 pagi Sabtu.

Bagaimanapun, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) menilai struktur Anak Krakatau yang terbentuk semula masih agak kecil dan tidak dianggap mampu mengalami keruntuhan pada skala yang boleh mencetuskan tsunami.

“Kerajaan sedang menangani kebimbangan orang ramai, khususnya di sepanjang pantai Banten dan Lampung mengenai kemungkinan tsunami yang dikaitkan dengan Anak Krakatau berdasarkan pengalaman mereka ketika tsunami pada 22 Dis 2018,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Anak Krakatau yang terletak di Kabupaten Lampung Selatan, Provinsi Lampung kekal pada Tahap III atau Siaga, dengan zon larangan sejauh tiga kilometer di sekitar kawah aktifnya.

“Orang ramai diminta supaya tidak menghampiri kawasan gunung berapi untuk melihat letusan atau mengambil gambar atau video memandangkan masih terdapat kemungkinan pancutan bahan dari kawah aktif,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, kira-kira 650 penduduk daripada 208 keluarga dipindahkan susulan peningkatan aktiviti Gunung Sinabung di Kabupaten Karo, Sumatera Utara.

Letusan pada 31 Ogos lalu mendorong pihak berkuasa menaikkan status Sinabung daripada Tahap II (Waspada) kepada Tahap III (Siaga).

Menurut Berton, kira-kira 405 penduduk masih berada di pusat pemindahan Jambur Arih Ersada di Desa Sukatepu setakat Jumaat, manakala tahap kerosakan kawasan pertanian akibat abu gunung berapi masih dinilai.

Asap kawah tebal berwarna putih turut dilihat menjulang kira-kira 300 hingga 500 meter dari puncak Sinabung antara tengah hari hingga 6 petang Jumaat, meskipun tiada aktiviti seismik direkodkan sepanjang tempoh berkenaan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading