
KUALA LUMPUR: Tindakan individu yang mewakili Malaysia dalam pertandingan ratu cantik transgender di Bangkok, Thailand, tidak pernah mendapat sebarang sokongan, kebenaran, atau pengiktirafan daripada pihak berkuasa agama dan kerajaan Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang individu yang menyertai pertandingan ratu cantik transgender yang berlangsung pada 30 Ogos lalu.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja mencemarkan imej negara di persada antarabangsa, malah bertentangan secara nyata dengan ajaran Islam, norma budaya tempatan, serta nilai kesopanan dan kesusilaan yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.
“Perbuatan menyerupai jantina berlawanan (tasyabbuh) serta mempromosikan gaya hidup transgender adalah haram di sisi hukum Syarak dan dilarang di bawah perundangan Syariah di negeri-negeri.
“Masyarakat dianjurkan agar tidak mensensasi atau mengagung-agungkan perkara yang menyalahi syariat, sebaliknya bersama-sama mempertahankan nilai moral dan akidah ummah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Zulkifli, pihak berkuasa agama akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meneliti tindakan berasaskan perundangan yang sedia ada.
Terdahulu, tular di media sosial seorang transgender yang dikatakan mewakili Malaysia menyertai pertandingan ratu cantik transgender di Thailand.–AlHijrah Online