
Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menyeru rakyat Malaysia agar terus menghayati dan mengamalkan Rukun Negara wajar diberi perhatian serius oleh semua lapisan masyarakat. Seruan itu bukan sekadar peringatan, namun mesej penting bagi memastikan keharmonian, kestabilan dan perpaduan negara terus terpelihara dalam sebuah masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya.
Rukun Negara yang diperkenalkan pada tahun 1970 bukan sekadar gagasan atau slogan untuk dihafal. Ia dirangka sebagai panduan nasional bagi membentuk identiti rakyat Malaysia serta menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara yang aman, bersatu padu dan progresif. Setiap prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara mempunyai fungsi tersendiri dalam membentuk masyarakat yang menjunjung nilai murni, menghormati undang-undang serta mengutamakan kepentingan negara.
Lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan membentuk kerangka lengkap dalam pembangunan negara. Prinsip-prinsip ini merangkumi dimensi spiritual, moral, sosial dan budaya. Keutuhan elemen-elemen tersebut menjadikan Rukun Negara sebagai panduan menyeluruh dalam membentuk warganegara yang bertanggungjawab serta mempunyai jati diri yang kukuh.
Penghayatan Rukun Negara turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama. Dalam era globalisasi yang menyaksikan pelbagai cabaran seperti penyebaran maklumat tidak sahih, sentimen kebencian dan polarisasi sosial, nilai-nilai yang terkandung dalam Rukun Negara mampu menjadi benteng untuk memelihara keharmonian masyarakat. Apabila setiap rakyat memahami dan mengamalkan prinsip-prinsip tersebut, budaya saling menghormati, toleransi dan semangat kebersamaan akan terus subur.
Golongan pelajar juga perlu diberi perhatian khusus dalam usaha menghayati Rukun Negara. Sebagai generasi pewaris negara, adalah penting untuk mereka memahami bahawa kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi tanpa pembentukan sahsiah dan jati diri yang kukuh. Penghayatan Rukun Negara mampu melahirkan generasi dengan kesedaran sivik, semangat patriotisme serta rasa tanggungjawab terhadap keamanan dan kemajuan negara. Nilai-nilai ini perlu dipupuk sejak di bangku sekolah agar menjadi sebahagian daripada budaya hidup masyarakat.
Dalam konteks pendidikan, Rukun Negara berkait rapat dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan bertujuan melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi serta jasmani. Matlamat ini selari dengan nilai-nilai Rukun Negara yang menekankan aspek kepercayaan kepada Tuhan, pembentukan akhlak mulia, tanggungjawab terhadap negara dan penghormatan kepada undang-undang. Jika Rukun Negara berfungsi sebagai panduan nilai dan prinsip kenegaraan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan pula menjadi mekanisme yang menterjemahkan nilai-nilai tersebut dalam proses pembentukan modal insan. Kedua-duanya saling melengkapi dalam usaha melahirkan rakyat yang berilmu, berintegriti dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Hakikatnya, penghayatan Rukun Negara tidak wajar diterhadkan kepada bacaan ketika perhimpunan atau majlis rasmi semata-mata. Prinsip-prinsip tersebut perlu diterjemahkan dalam tindakan dan amalan harian setiap rakyat. Dengan memahami makna serta hikmah di sebalik setiap prinsip, masyarakat akan lebih menghargai perpaduan, menghormati kepelbagaian dan bersama-sama memelihara keamanan negara.
Justeru, titah Yang di-Pertuan Agong agar rakyat menghayati Rukun Negara merupakan satu amanah yang perlu disambut oleh semua pihak demi menjamin masa depan Malaysia yang lebih harmoni, bersatu dan sejahtera. — AlHijrah Online.
Muhammad Afif Zakwan Azhar
Pensyarah di General Studies Department
Centre for Continuing Education, Sunway College