
SHAH ALAM: Seorang petugas sebuah kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan liwat terhadap dua remaja lelaki berusia 14 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Fikri Zainal Abidin, 38, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Fikri didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kedua-dua mangsa pada 20, 23 dan 29 Jun di sebuah hostel kolej serta sebuah rumah di Seksyen 18, Shah Alam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa atas kesalahan liwat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Roshaira Rosly dan K. S. Rinisha Priyya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, manakala Fikri yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan atas alasan perlu menjaga ibu bapanya.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pekerja kolej ditahan di sebuah restoran di Shah Alam pada 4 Julai lalu selepas disyaki mencabul dan meliwat dua pelajar lelaki. — AlHijrah Online.