
KUALA LUMPUR: Sokongan atau keahlian terhadap mana-mana parti politik bukan ukuran untuk memperoleh keredaan Allah SWT, apatah lagi dijadikan jaminan seseorang ke syurga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penentuan syurga dan neraka merupakan hak mutlak Allah SWT dan tidak boleh dijadikan jaminan oleh mana-mana individu, pemimpin atau organisasi politik.
Menurutnya, keimanan, ketakwaan dan amalan soleh berlandaskan al-Quran serta al-Sunah menjadi asas utama dalam memperoleh keredaan Allah SWT.
“Sikap mendakwa kumpulannya pasti suci manakala orang lain terkeluar daripada rahmat Allah SWT adalah bentuk memuji diri sendiri dan ghuluw (sikap melampau) yang dilarang keras dalam Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Zulkifli berkata, parti politik hanyalah wasilah atau perantara dalam usaha manusia yang tidak sunyi daripada kelemahan dan ijtihad serta tidak boleh disamakan dengan agama atau dijadikan ukuran mutlak terhadap kedudukan seseorang di sisi Allah SWT.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak mematangkan budaya politik dengan menjadikan keadilan, kemaslahatan ummah dan akhlak sebagai teras serta mengelakkan eksploitasi sentimen agama untuk kepentingan politik.
“Berpolitiklah dengan matang dan berakhlak berasaskan keadilan serta kemaslahatan ummah, tanpa menggadaikan nilai akidah dan ukhuwah Islamiah,” katanya.
Beliau turut meminta masyarakat membezakan antara agama sebagai panduan hidup dengan parti politik sebagai wadah perjuangan manusia.
Kenyataan itu mengulas laporan media semalam yang memetik Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai berkata sokongan kepada PAS dan perjuangan yang berteraskan Islam boleh menjadi laluan ke syurga.
Takiyuddin dilaporkan berkata mereka yang menyertai PAS dan memperjuangkan Islam berpeluang memperoleh ganjaran syurga, selain menyifatkan mereka yang mati kerana mempertahankan Islam sebagai syahid. — AlHijrah Online