
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan membangunkan sistem pemprofilan melibatkan pemandu, syarikat dan kenderaan perdagangan bagi memperkukuh usaha membanteras kes pemanduan di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, inisiatif itu sedang diperhalusi sebagai sebahagian daripada cadangan untuk memperketat penguatkuasaan, termasuk memastikan syarikat yang menggajikan pemandu terbabit turut dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan.
“Kita sedang menyusun sistem pemprofilan individu, syarikat dan kenderaan serta bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selain mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk memperketat undang-undang supaya bukan sahaja pemandu dikenakan tindakan, malah syarikat yang melantik mereka turut bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata, langkah itu diambil susulan trend peningkatan kes pemandu kenderaan perdagangan yang dikesan memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol, sekali gus mengundang risiko tinggi kepada keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut beliau, ketika ini tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikenakan terhadap individu yang melakukan kesalahan, namun pihaknya turut mencadangkan supaya majikan atau syarikat dipertanggungjawabkan.
Muhammed Hasbullah turut menasihati pemilik syarikat pengangkutan atau kenderaan perdagangan supaya melaksanakan pemantauan berkala terhadap pemandu, termasuk menjalankan ujian saringan air kencing bagi memastikan pekerja mereka tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 121 pemandu lori adalah antara 135 individu yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam 44 operasi bersepadu terhadap pemandu kenderaan perdagangan di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur, dari April hingga Jun lalu.
Katanya, jumlah itu dikesan hasil 713 ujian saringan air kencing yang dijalankan sepanjang tempoh operasi.
“Hampir 90 peratus individu yang ditahan membabitkan pemandu kenderaan perdagangan iaitu melibatkan 121 pemandu lori dan 14 individu lain,” katanya.
Menurut beliau, dadah jenis methamphetamine paling banyak dikesan dalam kalangan pemandu lori menerusi operasi berkenaan dan berdasarkan trend semasa, terdapat pemandu dipercayai mengambil bahan terlarang itu bagi meningkatkan keupayaan mereka ketika memandu dalam tempoh yang panjang.
Beliau berkata, operasi yang dijalankan JSPT dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memberi tumpuan kepada pemandu treler, lori, bas ekspres, bas pekerja, bas sekolah serta kenderaan yang membawa bahan berbahaya. — AlHijrah Online.