
JOHOR BAHRU: Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berakhir secara rasmi selepas kesemua 1,076 pusat mengundi di seluruh negeri ditutup tepat jam 6 petang tadi.
Setakat jam 5 petang, sebanyak 67.44 peratus atau lebih 1.8 juta daripada keseluruhan 2.6 juta pemilih biasa telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi sehingga 70 peratus, dengan keputusan penuh dijangka diketahui seawal jam 10 malam ini.
Kini, tumpuan beralih kepada proses penjumlahan undi bagi menentukan 56 calon yang bakal dipilih daripada keseluruhan 172 calon bertanding untuk membentuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang baharu.
Sementara itu, pembukaan sampul undi pos telah bermula dan disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook rasmi SPR bagi memastikan ketelusan proses demokrasi.
Kesemua peti undi daripada 4,889 saluran kini dibawa ke pusat penjumlahan undi sebelum keputusan rasmi diumumkan. — AlHijrah Online.