Connect with us

ALHIJRAH NEWS

KEMELUT TAKHTA NEGERI SEMBILAN: 10 BEKAS PRESIDEN MAJLIS PEGUAM DESAK CAMPUR TANGAN KERAJAAN PUSAT

DALAM NEGARA

KEMELUT TAKHTA NEGERI SEMBILAN: 10 BEKAS PRESIDEN MAJLIS PEGUAM DESAK CAMPUR TANGAN KERAJAAN PUSAT

Sepuluh bekas presiden Majlis Peguam menggesa Kerajaan Persekutuan campur tangan bagi menyelesaikan kemelut kedudukan Tuanku Muhriz yang disifatkan menimbulkan kebimbangan serius terhadap sistem raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.

KUALA LUMPUR: Sepuluh bekas presiden Majlis Peguam menggesa Kerajaan Persekutuan campur tangan bagi menyelesaikan kemelut perlembagaan berhubung kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Dalam kenyataan hari ini, mereka menyifatkan perkembangan terbaharu membabitkan kedudukan baginda sebagai sesuatu yang menimbulkan kebimbangan serius terhadap sistem raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.

“Kami menggesa Kerajaan Persekutuan campur tangan dan menyelesaikan isu-isu yang membimbangkan itu. Keadaan berkenaan boleh membahayakan sistem raja berperlembagaan dan masa hadapan negara – sebuah negara yang pada setiap masa perlu berlandaskan undang-undang dalam menentukan hala tuju.

“Tindakan yang tidak wajar dan tidak bermaruah sedemikian, serta sikap tidak menghormati undang-undang perlu dihentikan,” kata mereka.

Menurut kumpulan itu, tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan berhubung kedudukan Tuanku Muhriz tidak melalui proses yang sepatutnya seperti diperuntukkan dalam Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Mereka menjelaskan, peruntukan berkenaan menetapkan keperluan siasatan lengkap oleh Undang sebelum seseorang Raja boleh diturunkan takhta.

Kumpulan berkenaan mempersoalkan sama ada siasatan tersebut telah dijalankan dan Tuanku Muhriz diberikan peluang untuk memberikan penjelasan.

Mereka turut membangkitkan persoalan mengenai kesahihan proklamasi yang didakwa bertarikh 19 April 2026, termasuk keadaan bagaimana dokumen itu ditandatangani oleh Menteri Besar pada 3 Ogos.

Exco tidak mempunyai kuasa dari segi perlembagaan untuk bertindak menurunkan seseorang Raja daripada takhta secara unilateral.

Mereka turut merujuk kepada pendirian Jabatan Peguam Negara bahawa proklamasi berkenaan tidak sah, manakala Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri juga tidak akan mengambil sebarang tindakan pewartaan terhadap proklamasi tersebut.

“Kami menggesa supaya serangan terhadap kedaulatan berperlembagaan institusi beraja Negeri Sembilan dan kedaulatan undang-undang ini dihentikan serta-merta.

“Kami menggesa dengan tegas Kerajaan Negeri Sembilan, semua pegawai awam dan seluruh rakyat Malaysia supaya menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan UUTKNS 1959, memelihara kedaulatan undang-undang serta menghormati sepenuhnya kedaulatan dan kedudukan berperlembagaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan sedang memerintah,” kata mereka.

Kumpulan itu turut menegaskan Exco juga tertakluk kepada undang-undang dan sebarang tindakan yang menyalahi peraturan perlu dibendung.

Sepuluh bekas presiden Majlis Peguam berkenaan ialah Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Kuthubul Zaman Bukhari, Datuk Yeo Yang Poh, Datuk Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Datuk Lim Chee Wee, Christopher Leong, Datuk George Varughese, Salim Bashir dan Karen Cheah Yee Lynn. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading