Connect with us

ALHIJRAH NEWS

KHUP5 PERKUKUH KESEDARAN TERHADAP PENIPUAN PAKEJ HAJI, UMRAH – ZULKFILI

DALAM NEGARA

KHUP5 PERKUKUH KESEDARAN TERHADAP PENIPUAN PAKEJ HAJI, UMRAH – ZULKFILI

Dr Zulkifli Hasan mengingatkan orang ramai bahawa Muzakarah Haji Kebangsaan memutuskan bahawa hukum menunaikan ibadah haji tanpa permit atau visa yang sah adalah berdosa di sisi syarak, walaupun ibadah tersebut sah, serta menasihati individu yang memperoleh visa haji mujamalah atau furada supaya memilih perkhidmatan daripada 34 syarikat PJH yang dilesenkan TH demi menjamin kebajikan, keselamatan dan kelancaran sepanjang berada di Tanah Suci.

Sumber Gambar: BERNAMA

SEPANG: Penganjuran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Kelima (KHUP5) memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat bagi membendung penipuan pakej haji dan umrah oleh pengendali tidak berlesen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata karnival berkenaan bukan sekadar medan mempromosikan pakej ibadah patuh syariah, malah bertindak sebagai platform sehenti mendidik bakal tetamu Allah agar membuat pertimbangan tepat dan hanya berurusan dengan syarikat diiktiraf.

Zulkifli berkata langkah proaktif itu penting memandangkan pihak berkuasa mula mengesan pelbagai tawaran pakej yang meragukan di pasaran termasuk membabitkan pelaksanaan badal haji.

“Sebelum ini kita dapati ada pakej badal haji yang ditawarkan terlalu murah antara RM2,500 hingga RM5,000, namun apabila ditegaskan bahawa kos sedemikian hampir mustahil, kini timbul pula trend pakej badal haji yang mengenakan harga terlampau mahal.

“Oleh itu, kita sentiasa memantau dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang bentuk penipuan yang boleh memperdaya umat Islam di negara ini,” ujarnya.

Karnival anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) itu merekodkan kehadiran lebih 16,000 pengunjung dan menghimpunkan 34 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen bagi musim haji 1448H.

Zulkifli berkata kerajaan bersama agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji akan terus memperhebat kempen No Visa, No Hajj.

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa Muzakarah Haji Kebangsaan memutuskan bahawa hukum menunaikan ibadah haji tanpa permit atau visa yang sah adalah berdosa di sisi syarak, walaupun ibadah tersebut sah.

Sehubungan dengan itu, Zulkifli turut menasihati individu yang memperoleh visa haji mujamalah atau furada supaya memilih perkhidmatan daripada 34 syarikat PJH yang dilesenkan TH demi menjamin kebajikan, keselamatan dan kelancaran sepanjang berada di Tanah Suci.

“Musim lepas (1445H) merupakan tahun yang sangat cemerlang bagi Malaysia apabila kita mencatatkan sifar kes penipuan haji, selain berjaya mempertahankan Anugerah Berlian Labbaytukum bagi pengurusan haji terbaik dunia daripada (kerajaan) Arab Saudi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar syarikat PJH menerapkan modul penghayatan Maqasid fil Manasik (Maqasid Haji) yang merangkumi aspek spiritual, fikrah, kefahaman ekonomi, peradaban dan kenegaraan dalam kursus persediaan jemaah. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading