
KUALA LUMPUR: Pemandu kereta elektrik yang terlibat dalam kemalangan enam kenderaan sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching, Sabtu lalu, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, hari ini.
Lelaki berusia 24 tahun itu dibawa ke mahkamah bagi menghadapi tiga pertuduhan berhubung kejadian berkenaan.
Suspek bakal didakwa di Mahkamah Majistret 13 (Trafik) mengikut Seksyen 41(1), Seksyen 42(1) dan Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan semalam memaklumkan, suspek ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi selepas dibenarkan keluar daripada sebuah hospital swasta di Damansara.
Lelaki itu kemudian dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 3.44 petang Sabtu lalu, kereta BYD Seal dipandu suspek dipercayai melanggar bahagian belakang Perodua Bezza yang bergerak perlahan dalam aliran trafik dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.
Pelanggaran itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berkenaan berpusing ke lorong kanan dan merempuh tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.
Akibat kemalangan tersebut, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang menaiki Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Bapa mangsa yang memandu Perodua Bezza dan seorang penunggang motosikal turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu. — AlHijrah Online