
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia khususnya umat Islam perlu berhati-hati dalam memilih sumber makanan susulan isu bangkai ayam yang tular di media sosial.
Pendakwah Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali PU Amin menyuarakan kebimbangan terhadap kesan pengambilan makanan daripada sumber yang haram dan tidak bersih, selain menegaskan kepentingan memastikan makanan yang diberikan kepada keluarga terutama anak-anak, datang daripada sumber yang baik.
“Kesan makan bangkai ayam ini menakutkan, hati jadi hitam, darah daging tumbuh dari sumber makanan yang haram, susah nak dengar cakap, jiwa tidak tenang, serabut 24 jam, bahagia musnah, semua ini punca daripada makanan.
“Jaga-jaga dengan apa yang kita makan. Takut anak-anak kita kenyang dari sumber yang kotor. Ya Allah lindungi kami Ya Allah,” katanya dalam hantaran di Threads.
Baru-baru ini tular di media sosial sebuah syarikat yang melakukan penyembelihan ayam tanpa mengikut syarak yang ditetapkan dalam agama Islam, selain didakwa menjadi pembekal kepada salah sebuah kedai makan yang terkenal.—AlHijrah Online