
TELUK INTAN: Dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.35 petang.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum melanggar sebuah motosikal dan sebuah kenderaan lain yang berada di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, dua remaja perempuan yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 28 tahun itu serta seorang kanak-kanak lelaki yang turut terlibat telah dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pemandu kereta terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
“Mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — AlHijrah Online.