Connect with us

ALHIJRAH NEWS

SEKOLAH DI SEMBILAN PPD DAN SELURUH MELAKA DITUTUP ESOK

DALAM NEGARA

SEKOLAH DI SEMBILAN PPD DAN SELURUH MELAKA DITUTUP ESOK

Semua institusi pendidikan di bawah KPM di Melaka serta sekolah di bawah sembilan PPD di Selangor, Pahang, Sabah dan Sarawak ditutup esok, 14 Oktober susulan jerebu.

KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Melaka serta sekolah di bawah sembilan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan ditutup esok, 14 Oktober susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang masih berada pada tahap tidak sihat.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan, sembilan PPD yang terlibat ialah Hulu Langat dan Sepang di Selangor; Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang; Tawau di Sabah serta Serian, Sri Aman dan Lubok Antu di Sarawak.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dalam kenyataan pada hari ini memaklumkan penutupan sementara semua institusi pendidikan di bawah KPM di negeri itu diteruskan esok berikutan situasi jerebu semasa.

Sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan KPM.

Guru dan anggota kumpulan pelaksana turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) dan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan.

Maklumat dan arahan lanjut berkaitan kedua-dua pentaksiran dan peperiksaan itu boleh dirujuk menerusi laman Facebook rasmi JPN Melaka.

JPN Melaka turut menasihatkan semua institusi pendidikan di bawah seliaannya supaya memantau bacaan IPU di daerah masing-masing menerusi Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dari semasa ke semasa.

Menurut jabatan itu, langkah berkenaan penting bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid serta warga institusi pendidikan sentiasa terpelihara. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading