
KUALA LUMPUR: Kepakaran Malaysia dalam pembangunan dan tadbir urus wakaf terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Dr Ridzwan Bakar, dilantik sebagai Penasihat Wakaf Kesultanan Oman bersempena pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara YWM dengan Sohar Islamic dan Boushar Endowment Foundation.
Pelantikan itu bukan sahaja mencerminkan keyakinan terhadap kepakaran Malaysia dalam aspek tadbir urus, inovasi dan pembangunan institusi wakaf, malah mengukuhkan kedudukan negara sebagai rakan strategik yang diyakini dalam pembangunan wakaf di peringkat global.
Majlis yang disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli itu turut membuka lembaran baharu kerjasama Malaysia dan Oman dalam memperkasa pembangunan wakaf, kewangan sosial Islam, perkongsian kepakaran, pemindahan ilmu, teknologi serta amalan terbaik pengurusan wakaf.
Kerjasama tersebut dijangka merancakkan pembangunan projek wakaf produktif menerusi pelaburan strategik dan pembiayaan mampan yang memberi impak sosioekonomi berterusan.
“Ia mencerminkan komitmen bersama kita untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan wakaf, kewangan sosial Islam, pertukaran ilmu, pembangunan kapasiti serta pembangunan inisiatif wakaf berimpak tinggi yang akan memberi manfaat kepada Malaysia dan Kesultanan Oman,” katanya.
Tambahnya, kerjasama itu merupakan hasil daripada hubungan yang dibina sejak beberapa tahun lalu, bermula dengan lawatan Kementerian Endowmen dan Hal Ehwal Agama Kesultanan Oman ke Malaysia pada 2023 sebelum disusuli lawatan kerja Malaysia ke Oman pada 2024.
Mengulas pelantikan Dr. Ridzwan, Marhamah menyifatkannya sebagai satu penghormatan besar kepada negara yang membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap ekosistem wakaf Malaysia.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap ekosistem dan kepakaran wakaf Malaysia, malah memperlihatkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk memajukan wakaf melalui ilmu, inovasi dan kerjasama strategik.
“Dengan menggabungkan kekuatan, kepakaran dan pengalaman institusi masing-masing, kerjasama ini akan mewujudkan sinergi yang lebih besar dalam pembangunan wakaf serta menjadi model kerjasama strategik kepada dunia Islam,” ulas beliau.
Kerjasama strategik itu selaras dengan agenda pembangunan 1H3E YWM yang memberi tumpuan kepada bidang kesihatan, pendidikan, pemerkasaan ekonomi dan alam sekitar, di samping menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh ekosistem ekonomi Islam melalui wakaf sebagai instrumen pembangunan negara yang inklusif dan mampan. — AlHijrah Online