
KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tidak dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, petang semalam.
Ahmad Zahid berkata, beliau dan Ismail hanya mengetahui mengenai perkara berkenaan menerusi laporan media.
“Tiada. Saya dan Menteri Besar Negeri Sembilan tidak pernah dititah untuk menghadap.
“Kami tahu hanya daripada media sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan University Research and Innovation Investment Summit (EURES) 2026, hari ini.
Semalam, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Tuanku Muhriz di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan, hampir sejam susulan perkembangan kemelut membabitkan institusi diraja dan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.
Laporan media turut menyebut Ahmad Zahid dan Ismail antara pihak yang menghadap Tuanku Muhriz bersama Perdana Menteri. — AlHijrah Online