Connect with us

ALHIJRAH NEWS

PENDUDUK BUKIT MALUT RAYU HENTIKAN FITNAH KAITKAN MEREKA DENGAN PELARIAN

DALAM NEGARA

PENDUDUK BUKIT MALUT RAYU HENTIKAN FITNAH KAITKAN MEREKA DENGAN PELARIAN

Penduduk Bukit Malut berharap pelbagai persepsi negatif yang sekian lama mengaitkan penempatan mereka dengan pelarian dari Myanmar dihentikan kerana majoriti penduduk di kawasan itu ialah warganegara Malaysia.

LANGKAWI: Penduduk Bukit Malut berharap pelbagai persepsi negatif yang sekian lama mengaitkan penempatan mereka dengan pelarian dari Myanmar dihentikan kerana majoriti penduduk di kawasan itu ialah warganegara Malaysia.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Malut, Mohamad Fadzli Abdullah berkata, penduduk telah lama berdepan pelbagai tuduhan sehingga setiap kali timbul isu pendatang tanpa izin di Langkawi, kawasan itu sering dijadikan sasaran.

“Kami sudah lali dengan persepsi negatif terhadap Bukit Malut. Pelbagai tuduhan dibuat sehingga apabila ada pelarian mendarat di Langkawi, kawasan kami yang sering dipersalahkan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Bukit Malut menjadi lokasi pendaratan pendatang asing kerana kedudukannya berhampiran pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sekali gus memudahkan sebarang aktiviti mencurigakan dikesan pihak berkuasa.

“Tiada sebarang halangan untuk memasuki Bukit Malut. Tahap keselamatan di sini sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa, manakala persepsi negatif yang timbul berpunca daripada maklumat yang tidak tepat,” katanya.

Mohamad Fadzli berkata kira-kira 85 peratus penduduk Bukit Malut bekerja sebagai nelayan, manakala selebihnya terdiri daripada peniaga, pengusaha kereta sewa, penjawat awam, anggota badan beruniform dan lepasan institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, seorang penduduk, Hasanah Zakaria, 42, menggesa orang ramai datang melihat sendiri kehidupan masyarakat di Bukit Malut dan tidak membuat penilaian berdasarkan dakwaan yang tular di media sosial.

“Kami hidup seperti penduduk kampung lain dan tiada masalah jenayah yang membimbangkan berlaku di sini. Tidak perlu takut untuk datang ke sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abas Salam, 62, berharap dakwaan yang mengaitkan penduduk Bukit Malut dengan pelarian dari Myanmar dihentikan.

“Saya harap hentikan fitnah yang mengatakan kami Rohingya. Kami ialah keturunan Melayu Islam Kedah dan merupakan warganegara Malaysia yang sah,” katanya.

Menurut Abas, yang merupakan antara generasi terawal menetap di Kampung Tanjung Lembung, beliau tidak pernah menemui pelarian dari Myanmar tinggal di kawasan itu sepanjang lebih 30 tahun menetap di situ.

“Kami antara kumpulan pertama membuka penempatan ini. Dahulu, kami membina sendiri rumah, masjid dan sekolah agama tanpa banyak bantuan. Alhamdulillah, keadaan kini jauh lebih baik dan anak cucu kami berpeluang mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading