NEW DELHI: “Ia adalah satu pertemuan yang hebat. Selebihnya esok,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.
Pertemuan selama kira-kira 20 minit itu berlangsung di luar Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di ibu negara India di sini.
Rusia adalah anggota pengasas kerjasama BRICS manakala Malaysia hadir dalam kapasiti sebagai negara rakan kongsi.
Pertemuan dengan Putin adalah pertemuan dua hala pertama Anwar selepas ketibaan beliau.
Sidang kemuncak yang dihoskan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi itu bertemakan “Membina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan”, dengan tumpuan khusus terarah kepada usaha memperkukuh daya tahan, kerjasama ekonomi serta pembaharuan perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
Malaysia dan Rusia telah mengekalkan hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1967, dengan kerjasama merangkumi perdagangan dan pelaburan, tenaga, pendidikan, pelancongan, pertahanan serta bidang lain.
Pada 2024, jumlah perdagangan ASEAN-Rusia mencecah USD18.1 bilion manakala pelaburan langsung asing Rusia di ASEAN berjumlah RM367.90 juta (USD92.97 juta).
Bagi Malaysia, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar negara dalam kalangan negara Eropah pada 2025, dengan jumlah perdagangan bernilai RM8.72 bilion (USD2.04 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan komponen, serta makanan diproses; manakala import utama terdiri daripada produk petroleum, mineral, bahan kimia dan produk berasaskan kimia.–BERNAMA