
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dan meyakinkan Ahli Lembaga TH meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta dalam syarikat berkenaan.
Abdul Azeez, 59, yang juga bekas Ahli Parlimen Baling mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Faham pertuduhan, pertuduhan itu tidak benar sama sekali, mohon dibicarakan,” kata Abdul Azeez.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi TH untuk mendapatkan suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunerasi RM690,000 setahun, kemudahan sebuah kereta BMW 7 Series serta seorang pemandu tetap.
Bagi tujuan itu, Abdul Azeez didakwa mengarahkan Tan Sri Ismee Ismail yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif TH ketika itu untuk mencadangkan namanya sebagai wakil TH dalam Putrajaya Perdana Berhad.
Beliau turut dituduh meyakinkan Ahli Lembaga TH ketika Mesyuarat Lembaga Pengarah TH Bil. 4/2014 supaya bersetuju meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta, merangkumi sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada dalam syarikat berkenaan, dengan beliau mempunyai kepentingan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak pada 25 Ogos 2014.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi. — AlHijrah Online