Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MAHA 2026 BUKTI PERTANIAN BUKAN LAGI SEKTOR PINGGIRAN

DALAM NEGARA

MAHA 2026 BUKTI PERTANIAN BUKAN LAGI SEKTOR PINGGIRAN

MAHA 2026 merekodkan lebih lima juta pengunjung serta 97 MoU bernilai lebih RM10.35 bilion, selain mencatat jualan melebihi RM73 juta sepanjang 10 hari penganjurannya di MAEPS.

SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 mencatat lebih lima juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya, sekali gus melepasi sasaran awal empat juta pengunjung.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, kejayaan itu turut disertai pencapaian ekonomi apabila 97 Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai lebih RM10.35 bilion berjaya dimeterai, melebihi sasaran RM8 bilion.

“Nilai jualan keseluruhan pula mencapai lebih RM73 juta, mengatasi sasaran RM58 juta yang ditetapkan,” menurut kementerian dalam kenyataan.

Lebih dua juta belia atau kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan pengunjung turut direkodkan hadir pada MAHA 2026, jauh melepasi sasaran awal kementerian sebanyak 800,000 orang.

“Kehadiran golongan muda dalam jumlah besar mencerminkan peningkatan minat terhadap sektor pertanian dan agromakanan,” katanya.

Sepanjang penganjuran di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), lebih sejuta kenderaan turut direkodkan memasuki kawasan pameran.

KPKM berkata, peningkatan kehadiran masyarakat daripada pelbagai latar belakang turut memperlihatkan MAHA semakin diterima sebagai platform nasional untuk mendekatkan rakyat dengan sektor pertanian, agromakanan dan agropelancongan.

Pameran itu turut membuka ruang kepada peluang perniagaan, pelaburan dan jaringan kerjasama, selain mengetengahkan perkembangan teknologi serta inovasi dalam sektor pertanian negara.

Kejayaan MAHA 2026 disifatkan sebagai hasil kerjasama kementerian, jabatan dan agensi, kerajaan negeri, pempamer, rakan strategik, media serta semua pihak yang terlibat dalam penganjurannya. — AlHijrah Online.


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading