Connect with us

ALHIJRAH NEWS

SARJAN MEJAR DIDAKWA BOCOR OPERASI POLIS, DISUAP RM2,400

DALAM NEGARA

SARJAN MEJAR DIDAKWA BOCOR OPERASI POLIS, DISUAP RM2,400

Seorang Sarjan Mejar polis didakwa menerima suapan RM2,400 sebagai balasan memberikan maklumat awal mengenai operasi dan serbuan polis bagi membantu seorang individu mengelak daripada ditangkap.

KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan keseluruhan RM2,400 sebagai balasan memberikan maklumat awal mengenai operasi atau serbuan polis kepada seorang individu.

Roslee Mamat, 43, yang ketika itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, Roslee didakwa menerima suapan antara RM400 hingga RM1,000 daripada seorang individu sebagai dorongan untuk memberikan perlindungan dengan membocorkan maklumat lebih awal sekiranya terdapat operasi atau serbuan polis.

Maklumat itu didakwa diberikan bagi membolehkan individu berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga atau melarikan diri bagi mengelakkan tangkapan.

Kesalahan itu dipercayai dilakukan di sebuah cawangan bank di Shah Alam, Selangor serta Masjid Gong Terap, Setiu pada Oktober dan Disember 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan Roslee yang merupakan bapa kepada lima anak diikat jamin RM6,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau turut dilarang memiliki pasport antarabangsa sehingga kes selesai, tidak dibenarkan berkomunikasi dengan saksi pendakwaan serta perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Oktober bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Amalina Najwa Mohd Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading