
ISTANBUL: Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan pasukan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berbalas serangan di Selat Hormuz awal pagi Rabu, ketika ketegangan ketenteraan antara kedua-dua negara terus memuncak.
Televisyen kerajaan Iran melaporkan insiden itu berlaku susulan gelombang baharu letupan di beberapa lokasi di selatan Iran.
Agensi Berita Tasnim yang memetik pihak berkuasa wilayah Hormozgan melaporkan letupan yang kedengaran di Bandar Abbas, beberapa bandar pesisir serta pulau milik Iran berpunca daripada pertempuran di selat berkenaan.
Agensi Berita Mehr pula melaporkan letupan di timur Sirik mempunyai kaitan dengan kejadian berbalas serangan di perairan Teluk berhampiran.
Sementara itu, Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan pihaknya melancarkan satu lagi siri serangan terhadap Iran dengan menyasarkan keupayaan yang didakwa digunakan untuk menyerang kapal dagang di Selat Hormuz.
CENTCOM turut memaklumkan bahawa pasukan AS menyambung semula sekatan laut terhadap kapal yang belayar menuju dan keluar dari pelabuhan serta kawasan pesisir Iran.
Menurut CENTCOM, lebih 20 kapal perang Tentera Laut AS dan ratusan pesawat tentera kini beroperasi di seluruh Asia Barat, sambil menegaskan bahawa pasukan Amerika kekal “berwaspada, berkeupayaan menyerang dan bersiap siaga”.
Ketegangan antara AS dan Iran berhubung Selat Hormuz meningkat sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila kedua-dua pihak terus saling melancarkan serangan meskipun terdapat memorandum persefahaman bagi menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai berkekalan. — AlHijrah Online