
Sumber: Media Sosial.
KUALA LUMPUR: Penganjuran sebarang bentuk acara hiburan wajib mempertimbangkan prinsip-prinsip Maqasid Syariah, terutamanya dalam memelihara kesucian agama, akhlak, serta maruah masyarakat, agar tidak mengundang kemudaratan yang lebih besar
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam laman rasminya memaklumkan, penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 tidak lama lagi mencetuskan beberapa kebimbangan dan memerlukan perhatian serius.
“Suasana festival yang terbuka dan tidak terkawal berpotensi mendorong berlakunya ikhtilat yang melampaui batas, sedangkan Islam menekankan adab dan batas pergaulan bagi menjaga kehormatan diri.
“Selain itu, konsep festival air lazimnya melibatkan pemakaian yang tidak menepati syarat menutup aurat, lebih-lebih lagi dalam keadaan basah yang boleh menampakkan bentuk tubuh, sekali gus bercanggah dengan tuntutan syarak,” jelas hantaran itu.
Turut ditegaskan, unsur hiburan yang melampau seperti muzik yang kuat, tarian bebas serta suasana yang mengasyikkan boleh membawa kepada kelalaian daripada mengingati Allah SWT dan mengabaikan kewajipan agama seperti solat.
Dalam banyak keadaan, festival seumpama ini juga dikaitkan dengan aktiviti yang tidak bermoral seperti pengambilan alkohol dan penyalahgunaan bahan terlarang, walaupun tidak semestinya berlaku dalam semua penganjuran.
“Pihak penganjur disarankan agar menilai semula konsep dan pelaksanaan festival supaya selari dengan nilai agama, budaya serta undang-undang tempatan.
“Antara langkah yang boleh diambil ialah memastikan penganjuran tidak melibatkan unsur-unsur yang boleh mencetuskan maksiat seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan bahan terlarang dan hiburan melampau,” katanya.
Penganjur hendaklah peka terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, serta memastikan penganjuran acara tidak menimbulkan kontroversi atau ketegangan sosial.
“Mengelakkan pembaziran masa, wang, dan tenaga adalah tuntutan agama dan juga selaras dengan dasar penjimatan yang ditekankan oleh pihak kerajaan pada masa ini.
“Oleh itu, tuntutan utama dalam menghadapi gelombang hiburan moden yang semakin bebas dan tanpa sempadan adalah keperluan untuk pembaharuan hiburan yang didasarkan pada nilai ketamadunan.
“Ini penting agar hiburan yang disajikan selari dengan prinsip akhlak, adab dan syariat. Pendekatan hiburan alternatif sebegini berupaya membentuk masyarakat yang bukan sahaja mampu berhibur, tetapi juga berfikir, berakhlak dan memikul tanggungjawab,” kata hantaran itu lagi.
Festival muzik berkonsepkan air, Rain Rave Water Music Festival 2026 yang menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa akan berlangsung minggu ini di ibu negara.
Acara itu menggabungkan muzik, elemen air dan visual interaktif. — AlHIjrah Online