
ALOR SETAR: Suspek yang tergamak membelasah isterinya sehingga keguguran Khamis lalu, mempunyai latar belakang peribadi mengejutkan termasuk pernah berkahwin sebanyak sembilan kali.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 43 tahun itu juga dikesan mempunyai empat rekod jenayah lampau di mana sebahagian besarnya melibatkan kes mencederakan isteri dan teman wanitanya.
Hasil siasatan mendapati suspek kini mempunyai tiga isteri dan 11 orang anak. Modus operandi suspek dikesan cenderung menyasarkan wanita yang mempunyai pekerjaan tetap untuk dijadikan pasangan.
“Suspek dipercayai menyasarkan wanita yang mempunyai pekerjaan tetap, kebanyakannya dalam kalangan penjawat awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kedah, hari ini.
Menurut Adzli, suspek bukan sahaja terlibat dalam keganasan domestik, malah mempunyai rekod berkaitan ugutan jenayah dan kes menyembunyikan kelahiran termasuk melibatkan teman wanitanya pada tahun 2018.
Empat rekod jenayah tersebut bagaimanapun tidak termasuk kes di Johor Bahru yang telah berlarutan selama 10 tahun.
Mengulas lanjut mengenai kes terbaharu di Sungai Petani, polis telah mengklasifikasikan semula siasatan daripada Seksyen 325 kepada Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah menggunakan senjata.
Pemeriksaan perubatan mendapati mangsa yang berusia 39 tahun mengalami kecederaan yang sangat mengerikan.
“Siasatan mendapati mangsa dipukul berturutan dalam satu kronologi yang panjang menggunakan besi dan penyangkut baju. Di bawah Seksyen 326, hukuman boleh mencecah 20 tahun penjara,” tegas beliau.
Mengenai dakwaan suspek bahawa dia telah menanam janin hasil keguguran tersebut, pihak polis menegaskan satu lagi kertas siasatan akan dibuka sekiranya bukti penemuan janin tersebut ditemui.
“Kalau dia kata ada tanam janin, perkara pertama adalah kita kena minta dia tunjuk lokasi tersebut. Jika betul ada, kita akan buka satu lagi kertas siasatan,” tambahnya.
Suspek sebelum ini berjaya ditahan ketika bersembunyi di sebuah inap desa di Alor Setar pada petang Selasa lalu selepas polis melancarkan operasi memburunya susulan laporan dibuat abang mangsa dan mangsa sendiri. – AlHijrah Online