
GEORGE TOWN: Mayat seorang lelaki tempatan dipercayai telah meninggal dunia lebih empat hari ditemukan di dalam sebuah kereta di Jalan Lintang Merdeka, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada 9.50 pagi daripada seorang pekerja pembersihan.
Menurutnya, pekerja berkenaan terdahulu melihat kenderaan tersebut dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan kerja pembersihan pada 9.30 pagi.
“Mayat lelaki berusia 55 tahun yang berasal dari Bukit Mertajam ditemukan dalam keadaan berpakaian lengkap di tempat duduk pemandu kenderaan itu yang tidak berkunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan pada badan dan lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
Katanya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod penyakit kronik dan sedang menerima rawatan di hospital.
Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat. — AlHijrah Online