ISTANBUL: Hamas memaklumkan delegasi rundingannya akan berlepas ke Mesir pada Selasa bagi meneruskan rundingan mengenai pelaksanaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan di Telegram, kumpulan itu memaklumkan delegasinya akan mengadakan pertemuan dengan pegawai Mesir, selain pengantara dari Mesir, Qatar dan Turkiye, serta wakil pelbagai puak dan kumpulan Palestin.
Menurut Hamas, rundingan itu bertujuan memperkukuh gencatan senjata dan memastikan pelaksanaan komitmen yang dipersetujui di bandar Sharm el-Sheikh di Laut Merah, Mesir, khususnya berkaitan keadaan kemanusiaan di Gaza serta peralihan kepada fasa kedua pelan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Israel melancarkan tindakan yang disifatkan sebagai genosid di Gaza pada 8 Okt 2023 dengan sokongan AS, mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin serta mencederakan lebih 174,000 yang lain, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Walaupun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, Israel terus melancarkan serangan setiap hari, mengorbankan 1,207 rakyat Palestin dan mencederakan 3,914 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Israel juga terus melanggar perjanjian itu dengan menyekat kemasukan bekalan makanan, ubat-ubatan, peralatan perubatan, bahan binaan untuk tempat perlindungan serta rumah pasang siap ke Gaza, yang kini dihuni kira-kira 2.4 juta rakyat Palestin, termasuk 1.5 juta penduduk kehilangan tempat tinggal, dalam keadaan yang amat kritikal.
Hamas berkata pihaknya telah memenuhi komitmen fasa pertama dengan membebaskan tawanan Israel, namun Israel gagal menunaikan tanggungjawabnya apabila terus melancarkan pengeboman dan mengenakan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan.
Fasa kedua perjanjian itu merangkumi pengunduran tentera Israel secara lebih meluas dari Gaza serta permulaan usaha pembinaan semula sebagai pertukaran kepada permulaan proses pelucutan senjata puak-puak Palestin. Bagaimanapun, syarat-syarat itu masih belum dilaksanakan berikutan Israel bertegas bahawa pelucutan senjata mesti dilakukan terlebih dahulu.–BERNAMA