
PUTRAJAYA: Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara (NCTL) dinaikkan daripada rendah kepada sederhana sebagai langkah berjaga-jaga susulan perkembangan keselamatan semasa, namun situasi keselamatan negara kekal terkawal.
Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN JPM) memaklumkan, peningkatan tahap ancaman oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) itu bertujuan memastikan perkhidmatan penting negara terus dilindungi daripada sebarang kemungkinan gangguan.
Langkah berkenaan diambil susulan perkembangan konflik geopolitik serta ketegangan keselamatan serantau dan antarabangsa, seperti yang disentuh Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut kenyataan MKN JPM hari ini, NACSA turut mengadakan mesyuarat bersama Ketua Sektor dan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) bagi memperkukuh penyelarasan kesiapsiagaan keselamatan siber di setiap sektor.
“Mesyuarat tersebut menetapkan agar semua entiti NCII melaksanakan sembilan tindakan kesiapsiagaan keselamatan siber, termasuk pemantauan 24 jam, tampalan sistem, pengesahan pelbagai faktor dan pengemaskinian Pelan Kesinambungan Perkhidmatan.
“Ketua Sektor NCII juga dikehendaki mengemukakan laporan status ancaman secara mingguan kepada NACSA,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, NACSA melalui Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) terus mempergiat usaha pengesanan ancaman, pemantauan keselamatan siber serta pengeluaran amaran dan nasihat keselamatan kepada agensi kerajaan dan entiti infrastruktur kritikal.
“Langkah ini membolehkan tindakan pencegahan dan mitigasi diambil lebih awal bagi mengurangkan risiko gangguan terhadap perkhidmatan penting negara.
“Sepanjang Oktober 2026, NC4 telah mengeluarkan lapan alert dan advisory berhubung kerentanan yang memberi impak kepada entiti NCII dan agensi Kerajaan,” menurut kenyataan itu lagi.
MKN JPM turut memaklumkan perkembangan terkini berkaitan keselamatan negara akan terus disampaikan melalui saluran komunikasi rasminya.
Agensi itu menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara terus terpelihara menerusi langkah kesiapsiagaan yang menyeluruh, bersepadu serta berterusan. — AlHijrah Online