
KAJANG: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dengan kes pukul bekas isterinya dalam sebuah kereta di luar Balai Polis Bandar Baru Bangi, di sini Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dipercayai berlaku di parkir awam di luar balai polis berkenaan yang tular di media sosial, kira-kira jam 2.51 petang.
Katanya, suspek warga tempatan berusia 20-an yang bekerja sebagai pemandu e-hailing telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, kira-kira jam 6.20 petang semalam.
“Suspek merupakan bekas suami mangsa yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Bandar Baru Bangi hari ini untuk permohonan reman,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Naazron, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan cedera dengan sengaja serta ugutan mendatangkan ketakutan.—AlHijrah Onlne