
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap seorang individu susulan kandungan di Facebook yang disyaki menghina agama Islam.
Menerusi kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan kandungan berkenaan didakwa mempersenda ayat suci al-Quran sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“MCMC telah mengambil rakaman percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan.
“Satu unit telefon bimbit berserta eSIM turut disita untuk tujuan pemeriksaan forensik,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya menggunakan kebebasan bersuara secara bertanggungjawab khususnya apabila menyentuh sensitiviti agama.
“Kebebasan bersuara di media sosial perlu diamalkan secara bertanggungjawab dengan menghormati sensitiviti agama serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama,” tegasnya.
Terdahulu, tular di media sosial kandungan yang didakwa mempersenda penggunaan perkataan “lighad” yang merujuk kepada Surah al-Hashr ayat 18 dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat. — AlHijrah Online