KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan kerajaan dan polis membayar RM195,000 sebagai ganti rugi kepada 13 aktivis atas penahanan salah mereka semasa perhimpunan nyalaan lilin di Dataran Merdeka pada 2021, ketika pandemik COVID-19.
Hakim Datuk Anand Ponnudurai menganugerahkan RM15,000 sebagai ganti rugi am kepada setiap plaintif.
“Selepas mengambil kira keterangan secara keseluruhan dalam kes ini, mahkamah berpandangan bahawa pemberian ganti rugi sebanyak RM15,000 kepada setiap plaintif adalah adil dan wajar bagi menggambarkan kecederaan yang telah dibuktikan dalam prosiding ini.
“Ganti rugi ini turut mengiktiraf kepentingan hak-hak perlembagaan yang telah dicabuli dan pada masa sama, mengambil kira sifat serta tempoh penahanan selain ketiadaan faktor yang memburukkan lagi keadaan,” katanya ketika membacakan penghakiman dalam kes itu.
Kesemua aktivis adalah antara mereka yang ditahan semasa acara nyalaan lilin bagi memperingati mangsa yang meninggal dunia akibat COVID-19 di Dataran Merdeka pada 19 Ogos 2021.
Mereka telah menamakan 27 defendan termasuk 23 anggota polis yang terlibat dalam operasi penahanan itu, Kementerian Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Polis Diraja Malaysia dan kerajaan serta memohon deklarasi bahawa mereka telah ditahan secara tidak sah dan dikurung secara salah.
Dalam penghakimannya, Anand berkata penangkapan kesemua plaintif dan penahanan mereka seterusnya pada 19 Ogos 2021 adalah tidak sah di sisi undang-undang.
“Oleh itu, mahkamah memutuskan bahawa penahanan kesemua plaintif di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (IPD Dang Wangi) terjumlah kepada pengurungan salah yang berpunca daripada penangkapan tidak sah,” katanya.
Hakim itu turut memutuskan bahawa hak-hak plaintif di bawah Perkara 5(1) dan 5(3) Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli.
Beliau berkata plaintif telah mendakwa di bawah Perkara 5(3), mereka telah dinafikan peluang yang munasabah untuk berunding dan dibela oleh pengamal undang-undang pilihan mereka.
Anand berkata Perkara 5(3) mengandungi perlindungan perlembagaan penting yang bertujuan memastikan seseorang yang telah ditangkap diberikan akses bermakna kepada nasihat guaman dalam tempoh yang munasabah, dan jaminan itu bukan sekadar tertumpu kepada penyediaan wakil guaman secara formal tetapi juga bagi memastikan wakil berkenaan berupaya memenuhi tujuan sebenar peranannya.
“Oleh itu, mahkamah mendapati plaintif tidak diberikan peluang yang munasabah untuk berunding dengan pengamal undang-undang sebelum langkah-langkah siasatan yang penting diambil… dengan itu, hak-hak mereka di bawah Perkara 5(3) telah dicabuli,” katanya.
Beliau berkata mahkamah juga mendapati kerajaan memikul liabiliti vikarius atas penangkapan dan penahanan tidak sah mereka oleh IPD Dang Wangi.
Bagaimanapun, Anand menolak tuntutan plaintif bagi ganti rugi teruk dan teladan serta tort salah laku dalam jawatan awam.
Kesemua aktivis diwakili peguam Kee Hui Yee dan New Sin Yew manakala Peguam Persekutuan Anis Najwa Nazari mewakili pihak defendan.–BERNAMA