CHUKAI: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Baru Neram 1, Cheneh dekat sini, Ahad lepas ditemukan meninggal dunia berhampiran paya di kampung berkenaan hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Penolong Penguasa Bomba Mohd Hafiezul Mohamad berkata mayat Abdullah Besar, 70, ditemukan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 11.20 pagi tadi.
Beliau berkata mayat ditemukan kira-kira 600 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) yang dibuka selepas menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada Isnin.
“Operasi SAR yang diteruskan hari ini tertumpu dalam radius pencarian sejauh 10 kilometer meliputi kawasan hingga Perasing, dekat sini melibatkan sembilan anggota bomba termasuk Unit Anjing Pengesan (K9), pasukan bomba sukarela serta penduduk kampung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, adik perempuan mangsa, Norziah, 60, ketika dihubungi berkata dia reda dengan pemergian abang sulungnya itu.
“Penantian kami sekeluarga akhirnya berakhir walaupun abang ditemukan bukan lagi dalam keadaan bernyawa,” katanya yang turut berterima kasih kepada semua pihak terlibat dalam pencarian berkenaan.
Abdullah sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar untuk bersarapan di sebuah kedai makan kira-kira 200 meter dari kediamannya di Kampung Baru Neram 1, Cheneh pada 7 pagi Ahad lepas.–BERNAMA