Connect with us

ALHIJRAH NEWS

BAYAR ZAKAT RM1.935 JUTA, MENTERI AGAMA SIFATKAN JEP SEPAHTU WIRA ASNAF

UTAMA

BAYAR ZAKAT RM1.935 JUTA, MENTERI AGAMA SIFATKAN JEP SEPAHTU WIRA ASNAF

Menteri Agama, Dr Zulkifli Hasan memuji tindakan Jep Sepahtu mendedahkan rekod pembayaran zakat kira-kira RM1.935 juta bagi tempoh 2016 hingga 2025 sebagai lambang ketelusan dan integriti.

KUALA LUMPUR: Tindakan pelawak dan bekas penyampai radio, Jep Sepahtu mendedahkan rekod pembayaran zakat berjumlah kira-kira RM1.935 juta bagi tempoh 2016 hingga 2025 mendapat pujian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Menerusi hantaran di Facebook pada hari ini, beliau menyifatkan langkah Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin sebagai tindakan berani dalam mempertahankan ketelusan dan integriti, selain menangkis fitnah.

“Pengorbanan dan ketelusan figura awam seperti beliau wajar dijadikan ibrah dan iktibar terbaik buat seluruh masyarakat,” katanya.

Dr Zulkifli turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Jep yang disifatkannya sebagai wira serta inspirasi kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.

Beliau turut mengajak masyarakat melihat perkara itu dari sudut positif serta mendoakan yang terbaik untuk semua.

Keterbukaan figura awam seperti Jep wajar dijadikan teladan kepada masyarakat mengenai kepentingan menunaikan kewajipan berzakat dengan penuh tanggungjawab.

“Zakat bukan sahaja menyucikan harta, malah menjadi benteng ekonomi serta penyambung hayat buat golongan yang memerlukan.

“Ia mengukuhkan persaudaraan dan keadilan sosioekonomi ummah dengan membela nasib golongan asnaf,” ujar beliau.

Terdahulu, Jep Sepahtu memuat naik gambar beberapa resit pembayaran zakat yang dibuatnya setiap tahun sebagai bukti pembayaran berkenaan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in UTAMA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading