Connect with us

ALHIJRAH NEWS

MENANG RM1 JUTA BSN SSP, PESARA MAHU BINA PUSAT BELAJAR AL-QURAN

DALAM NEGARA

MENANG RM1 JUTA BSN SSP, PESARA MAHU BINA PUSAT BELAJAR AL-QURAN

Pesara pembantu perubatan, Arbaai Mat Ali memenangi RM1 juta menerusi BSN SSP dan mahu menggunakan rezeki itu untuk membina serta mewakafkan pusat belajar al-Quran bagi anak-anak kariah di kampungnya.

ALOR SETAR: Seorang pesara pembantu perubatan yang memenangi RM1 juta menerusi Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) ke-127 berhasrat menggunakan sebahagian rezeki itu untuk membina pusat belajar al-Quran bagi anak-anak kariah di kampungnya.

Arbaai Mat Ali, 66, dari Kampung Alor Senibong berkata, kemenangan itu dianggap sebagai rezeki yang dipinjamkan Allah dan mahu dimanfaatkan untuk tujuan kebajikan.

“Ini adalah rezeki yang dipinjamkan Allah, jadi saya mahu gunakan untuk membina sebuah premis (tempat belajar) mengaji al-Quran buat anak-anak kariah di sini,” katanya pada majlis penyampaian hadiah bersama Jutawan BSN SSP ke-127, hari ini.

Arbaai berkata, beliau tidak pernah menyangka akan memenangi hadiah berkenaan selepas mula menyimpan RM50 daripada ganjaran Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang diterimanya pada 2006.

“Selepas dapat ganjaran itu, saya terus buka akaun dan selepas itu saya simpan duit sekiranya mempunyai lebihan wang. Baru-baru ini saya hampir keluarkan semua simpanan tetapi pihak bank maklumkan ada cabutan bertuah, jadi saya biarkan baki berjumlah RM5,000 di dalam akaun.

“Pihak BSN maklumkan saya telah memenangi ‘saguhati’, namun tidak memberitahu hadiah yang dimenangi. Ada kawan yang maklumkan saya menang RM1 juta, namun saya masih tidak percaya sebelum menyuruh anak lelaki untuk membuat semakan,” katanya.

Arbaai yang mempunyai dua anak lelaki dan kehilangan suami tahun lalu berkata, beliau bertekad berkongsi rezeki berkenaan menerusi jalan kebajikan.

“Sebelum ini, saya telah menggunakan sebahagian wang pencen berjumlah RM180,000 untuk membeli sebidang tanah dan sebuah rumah usang di kampung. Saya sentiasa berdoa supaya Allah kurniakan rezeki lebih supaya dapat buat tempat belajar al-Quran untuk anak-anak di sini.

“Sekarang, proses menyiapkan tapak sedang dijalankan dan akan diwakafkan sepenuhnya. Pusat itu bertujuan menampung kelas al-Quran bagi anak-anak sekolah rendah yang dikendalikan oleh dua orang ustazah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan golongan muda supaya mendisiplinkan diri untuk menabung demi masa depan.

Sementara itu, pesara jururawat, Hariza Tajuddin, 56, dari Guar Chempedak yang memenangi kategori cabutan negeri berkata, beliau tidak menyangka memenangi sebuah Perodua Myvi 1.5 selepas kereta miliknya musnah sepenuhnya dalam kemalangan pada Jun lalu.

“Saya mula menyimpan dalam BSN SSP apabila menerima APC pada 2005 dan 2015, saya tambah kira-kira RM1,000 di dalam akaun setelah didorong oleh pegawai BSN. Saya hanya mengetahui telah memenangi kereta itu sehari selepas pulang daripada menunaikan umrah pada awal bulan lepas,” katanya.

Hariza berkata, kemenangan itu merupakan hadiah terbesar yang pernah diraih sepanjang hidupnya dan beliau akan terus menambah simpanan dalam akaun BSN SSP bagi masa hadapan. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading