ARAB SAUDI BUKA PINTU SEMPADAN BAGI PELANCONG ASING BERMULA 1 OGOS

Sumber Gambar: AFP

RIYADH: Kerajaan Arab Saudi membuka semula pintu sempadan bagi menerima pelancong asing yang sudah lengkap menerima vaksin, bermula 1 Ogos.

Memetik laporan Saudi Press Agency, Kementerian Pelancongan memaklumkan pelancong asing tidak perlu menjalani kuarantin bagi mereka yang mempunyai sijil vaksinasi.

“Arab Saudi akan membuka semula pintunya kepada pelancong asing, dan menarik balik penggantungan kemasukan pemegang visa pelancong, bermula 1 Ogos ini,” katanya.

Bagaimanapun, pelancong asing perlu mengambil ujian PCR COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum tiba di Arab Saudi.

Tambahnya, pelancong asing boleh mendaftarkan data mereka yang berkaitan dengan vaksinasi di portal https://muqeem.sa/#/vaccine-registration/home .

Data tersebut boleh diguna pakai dalam aplikasi ‘Tawakkalna’.

“Aplikasi ‘Tawakkalna’ akan dinaik taraf bagi kegunaan pelancong asing untuk masuk ke tempat awam di negara itu seperti pusat membeli-belah, pawagam, restoran dan tempat hiburan,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan kemasukan pelancong asing yang mengambil dua dos vaksin COVID-19 jenis Pfizer, AstraZeneca, Moderna atau Johnson&Johnson.

Bagi pelancong yang menerima vaksin jenis Sinophram atau Sinovac, mereka perlu mengambil dos tambahan daripada mana-mana jenis vaksin yang dibenarkan untuk masuk ke dalam Arab Saudi.

Kementerian itu memaklumkan pelancong asing boleh mendapatkan visa pelancongan dengan membuat permohonan melalui laman web https://www.visitsaudi.com.–AlHijrah Online

Leave a Reply