ARAB SAUDI GERAKKAN 10,000 PETUGAS SANTUNI SEJUTA JEMAAH HAJI

MAKKAH: Sejumlah 10,000 kakitangan dan petugas lelaki dan wanita digerakkan oleh Arab Saudi bagi membantu urusan pelaksanaan ibadah haji untuk musim haji kali ini.

Menurut Presiden Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr. Abdulrahman Al-Sudais, keberadaan kakitangan itu bagi menyantuni kira-kira sejuta Dhuyufurrahman yang telah mula masuk ke Makkah secara berperingkat menjelang kemuncak haji bulan depan.

Sheikh Dr. Abdulrahman menyatakan komitmen tersebut sewaktu melancarkan pelan operasi bagi musim haji 1443 hijrah.

Turut hadir, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Tawfiq Al-Rabiah dan Ketua Pengarah Keselamatan Awam, Left. Jeneral Mohammed Abdullah Al-Basami.

Menurut Sheikh Dr. Abdulrahman, setiap perkembangan tentang program dan perkhidmatan akan sentiasa dipantau dan dikemaskini setiap minit untuk memastikan perkhidmatan berkualiti tinggi disediakan kepada jemaah. Ia juga termaktub dalam set petunjuk yang dikawal selia pihaknya setiap masa.

Pihaknya juga ada melancarkan aplikasi pintar dan platform elektronik yang akan membantu dan menambah nilai pengalaman para pengunjung ke tanah suci.

“Sehingga kini perkhidmatan digital yang disediakan telah memberi manfaat kepada lebih 160 juta pengguna,” katanya.

Sementara itu, Sheikh Dr. Abdulrahman menambah, pihaknya sedang mengusahakan penyediaan 3 juta botol air Zamzam setiap hari di Masjidil Haram, dan satu juta lagi di lokasi-lokasi ibadah haji lain.

Turut disediakan, 2,000 kenderaan elektrik bagi membantu memudahkan pergerakan warga emas dan individu kurang upaya, manakala bacaan khutbah Arafah akan diterjemah melalui 10 bahasa utama di dunia.–AlHijrah Online

Leave a Reply