REZEKI ENAM SEKELUARGA TUNAI HAJI BERSAMA

KUALA LUMPUR: Seorang anak muda dan lima ahli keluarganya memperoleh rezeki yang diimpikan ramai apablia dapat bersama untuk menunaikan ibadah haji pada musim kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad yang berpeluang bertemu keluarga itu berkongsi perkara tersebut menerusi Facebooknya, hari ini.

“Alhamdulillah. Rezeki anak muda ini dapat menunaikan haji dengan keluarga tersayang kali ini, sebak saya rasa.

“Kalaulah mereka semua bersama di Arafah nanti, berwukuf, menadah tangan bersama, dan menunaikan semua rukun haji bersama, dan InsyaAllah mendapat haji yang mabrur bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Idris turut mendoakan keluarga tersebut serta seluruh jemaah haji kali ini dipermudahkan urusan serta diberikan kesihatan yang terbaik.

Idris turut mengharapkan semua jemaah dapat melaksanakan cabaran-cabaran yang akan dilalui semasa melaksanakan ibadah haji pada tahun ini.

Seramai 291 bakal jemaah haji akan berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia Airlines SV 5633 ke Jeddah pada 4.45 petang tadi, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba kira-kira 8.10 malam (waktu Arab Saudi).

Seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia dijadual mengerjakan Rukun Islam Kelima itu pada musim haji tahun ini, dengan dibantu 340 petugas TH.

Penerbangan bagi musim haji tahun ini merangkumi 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bermula pada 4 Jun lepas dan penerbangan akhir dijadualkan pada 2 Julai ini.—AlHijrah Online

Leave a Reply