AYOB KHAN DILANTIK TIMBALAN KETUA POLIS NEGARA

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuatkuasa 23 Jun 2023.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelantikan Ayob Khan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Adalah dimaklumkan bahawa seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenan pelantikan Ayob Khan.

“Ayob Khan berumur 57 tahun, dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah. Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen.

“Beliau memulakan tugas pada tahun 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman dari pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) sehingga ke pangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) selama 15 tahun.

“Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dan ditempatkan di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebelum kembali ke Cawangan Khas dengan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) pada tahun 2016,” kata Saifuddin dalam kenyataan hari ini.

Tambah Saifuddin, Ayob Khan dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis (CP) pada 2020 dan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor.

Pada 2022, beliau kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik kemudian berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini,” kata Saifuddin. — AlHijrah Online

Leave a Reply