BAJET 2023 PERKASA KELUARGA LUAR BANDAR

Foto Arkib

KUALA LUMPUR: Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat dilihat mampu memperkasa keluarga luar bandar, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Katanya kerajaan mendengar serta memahami permasalahan yang dialami setiap lapisan masyarakat termasuk masyarakat luar bandar. Justeru, manfaat kepada mereka tetap diambil kira menerusi belanjawan kali ini.

“Dari segi peruntukan kepada penduduk luar bandar, seperti mana kita sedia maklum seramai 7.3 juta penduduk luar bandar akan mendapat manfaat menerusi pelbagai bantuan, subsidi selain pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

“Bajet ini sangat menyeluruh dan telahpun diusahakan sejak awal tahun, yang mana kerajaan telah pun mendapatkan input yang melibatkan banyak pihak, agensi, sektor mahupun individu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Bajet 2023 yang bertemakan Keluarga Malaysia Makmur Bersama memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion, adalah yang tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini dan merupakan kesinambungan kepada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang telah diumumkan.

“Jika dilihat dari perspektif sesebuah keluarga, maka benarlah bahawa penekanan Bajet 2023 dibuat dengan begitu terperinci bagi memastikan setiap inisiatif ini dirasai oleh setiap lapisan masyarakat.

“Bagi saya belanjawan kali ini cukup penting untuk menyokong kesejahteraan dan kehidupan rakyat, memastikan kemampanan perniagaan dan memacu pemulihan ekonomi tatkala dunia berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi.” katanya. —AlHijrah Online

Leave a Reply