BANJIR KILAT: 200 RUMAH DI KAMPUNG JOHAN SETIA, KLANG TERJEJAS

SHAH ALAM: Kira-kira 200 rumah di Kampung Johan Setia, Klang terjejas akibat kejadian banjir kilat sekitar pukul 6 petang ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata berdasarkan laporan awal, paras air di beberapa tempat di kawasan berkenaan mencecah sehingga lebih setengah meter susulan hujan lebat pada sebelah petangnya, namun beberapa jam kemudian paras air semakin beransur surut.

Bagaimanapun menurutnya operasi pemindahan mangsa masih diteruskan dengan seramai 30 mangsa dari lapan buah rumah telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

“Ketika ini paras air banjir di kawasan itu semakin surut, dalam suasana hujan renyai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata selain bomba, operasi itu turut melibatkan polis, bomba sukarela, Kementerian Kesihatan, Pejabat Daerah Klang dan Angkatan Pertahanan Awam.–AlHijrah Online

Leave a Reply