BAPA KELAR LEHER ANAK GARA-GARA TUKAR SALURAN TELEVISYEN

HULU SELANGOR: Gara-gara mengubah saluran televisyen, seorang lelaki maut dikelar leher oleh bapanya sendiri dengan menggunakan sebilah pisau di kediaman mereka di Bernam Jaya, Hulu Bernam, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Arsad Kamaruddin berkata, suspek berusia 71 tahun mengaku berlaku pertengkaran antara dia dengan anak lelakinya, 37, yang berpunca daripada mangsa yang menukar saluran televisyen.

Menurut Arsad, suspek bertindak menolak mangsa sehingga terkena dinding lalu jatuh ke lantai sebelum bertindak mengambil pisau di dapur dan mengelar leher anaknya sebanyak tiga kali.

Ujarnya suspek mendakwa kononnya dia telah pergi ke kedai runcit sekitar jam 12 tengah hari dan sejurus pulang, dia menemui anak lelakinya itu berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan.

Suspek kemudian meminta jirannya menghubungi polis bagi memaklumkan berhubung kecederaan di bahagian leher anaknya itu.

“Siasatan polis mendapati leher mangsa terdapat kesan kelar yang dalam dipercayai bukan berpunca daripada bunuh diri tetapi dilakukan pihak ketiga,” katanya.

Polis berjaya merampas pisau yang digunakan suspek untuk mengelar mangsa dalam serbuan di rumah mereka.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing terhadapnya didapati negatif dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.–AlHijrah Online

Leave a Reply