PENJARAKAN FIZIKAL JEMAAH DIKURANGKAN KEPADA 1 METER

GAMBAR MASJID PUTRA – AFP

KUALA LUMPUR: Penjarakan fizikal antara jemaah di semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dikurangkan daripada 1.5 meter kepada 1 meter.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata ketetapan baharu itu berkuat kuasa bermula waktu Maghrib, 4 November 2021.

JAWI turut mengumumkan kebenaran kepada warganegara asing yang telah mendapat vaksin lengkap untuk menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau.

“Kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke atas yang telah mendapat vaksin lengkap juga dibenarkan untuk menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau.

“Selain itu, murid tadika dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dibenar untuk menghadiri kelas pengajian yang beroperasi dalam premis masjid dan surau berpandukan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Ajib majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis sambutan perayaan, majlis perkahwinan, majlis aqiqah dan lain-lain majlis sosial turut dibenar untuk diadakan di dewan masjid dan surau bagi individu yang telah lengkap menerima vaksin dengan 50 peratus kapasiti ruang dan penjarakan fizikal.

“Semua kebenaran tersebut adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan,” katanya.

— AlHijrah Online

Leave a Reply