BAPA LUMPUH SEBELUM SPM TIDAK HALANG AHMAD NABIL JADI PELAJAR TERBAIK

Sumber Gambar: BERNAMA

KOTA KINABALU: Dugaan dihadapi Ahmad Nabil Abidin apabila bapanya Abidin Ali Hasan, 53, lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar dua bulan sebelum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak menghalang dirinya untuk cemerlang dalam peperiksaan itu.

Ahmad Nabil muncul pelajar terbaik SPM 2021 seluruh Sabah Kategori A dengan mendapat 9A+, 2A dan 1A- hadir ke sekolah bersama ibu dan ayahnya berkerusi roda tidak dapat menahan air mata sebaik sahaja menerima keputusan peperiksaan daripada Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin.

Ditemui pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2021 Sabah di sini hari ini, Ahmad Nabil, 18, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kota Kinabalu berkata walaupun sedih kerana bapanya sakit, ia tidak melemahkan semangat beliau untuk terus belajar.

“Saya tidak pernah menganggap masalah yang dihadapi bapa menjadi beban…namun ia terus membakar semangat saya untuk berjaya sehingga mencapai cita-cita ingin menjadi seorang doktor.

“Saya mahu jadi doktor kerana ingin bantu menyembuhkan penyakit bapa dan saya juga mahu membantu semua pesakit yang ada,” katanya yang kelihatan tidak dapat menahan sebak ketika ditemui pemberita.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Tah Nia Jaman.

Ditanya mengenai rahsia kejayaannya, Ahmad Nabil yang berasal dari Kampung Pimping, Membakut berkata beliau hanya belajar seperti biasa bersama rakan-rakannya.

“Sebenarnya tiada rahsia kejayaan…saya cuma belajar seperti biasa dan yang paling penting saya sentiasa berdoa untuk meminta restu daripada ibu bapa saya.

“Saya tidak menyangka menjadi pelajar terbaik kerana ramai lagi rakan-rakan saya yang lain cukup berpotensi…namun saya bersyukur atas kejayaan ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau yang merupakan satu-satunya pelajar cemerlang kategori A di Sabah akan memohon biasiswa daripada mana-mana pihak termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk ke universiti serta menanam impian ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara.–AlHijrah Online

Leave a Reply