BAPA TIKAM BAYI 18 BULAN DIPENJARA 10 TAHUN

PETALING JAYA: Seorang bapa dijatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun atas tuduhan cubaan membunuh dengan menikam perut bayi perempuan kandungnya.

Tertuduh, Muhammad Safwan Shafie, 27, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, siang tadi.

Hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 12 Disember lalu, dan tertuduh dihantar ke Penjara Bentong, Pahang selepas selesai prosiding tertuduh.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman rendah dan ringan dengan alasan insaf atas apa yang telah dilakukan olehnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shanur Farahin Shapri memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman paling berat memandangkan kesalahan yang dilakukan sangat serius.

Dalam kejadian 12 Disember lalu, seorang bayi perempuan berusia 18 bulan terburai usus akibat ditikam oleh suspek pada 4.20 petang di flat Puchong Permai.

Mangsa yang parah ketika itu dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Sehingga kini, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.—AlHijrah Online

Leave a Reply