BAYI BARU LAHIR DICAMPAK DARI TINGKAT 2

IPOH: Seorang bayi lelaki yang masih bernyawa dan bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemukan berlumuran darah di bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seri Dermawan, Bercham tenghari semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bayi itu pada 12.35 tengah hari daripada orang awam.

Menurut A. Asmadi, bayi malang itu dicampak oleh seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dari tingkap biliknya yang terletak bahagian belakang tingkat atas rumah berkenaan dengan ketinggian kira-kira sembilan meter.

“Seorang saksi yang juga jiran suspek mendengar bunyi kuat sesuatu terjatuh di bahagian bumbung rumahnya. 

“Jiran terbabit kemudian menemui bayi berkenaan sebelum bertindak menghubungi pihak polis,” katanya. 

A Asmadi berkata, pemeriksaan di bilik suspek yang masih belum ke sekolah kerana baru sebulan berpindah ke rumah berkenaan dari Batu Caves, Selangor mendapati terdapat kesan tompokan darah pada jeriji tingkap serta cadar biliknya.

Ujarnya, bayi malang itu berada dalam keadaan kritikal serta mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal, Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Suspek turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut.

” Setakat ini keterangan lanjut masih belum diterima kerana remaja itu dalam keadaan lemah akibat mengalami pendarahan selepas melahirkan bayi berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, soal siasat ke atas ibu dan dua adik suspek mendapati mereka tidak mengetahui remaja terbabit hamil, malah semasa kejadian, dia tidak menunjukkan sebarang petanda mahu melahirkan anak sebaliknya hanya memberitahu baru saja datang haid.

A Asmadi berkata, saksi-saksi kes berkenaan akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan lanjut. — Alhijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply