TIADA NEGERI LAKSANA SOLAT JUMAAT DUA SESI

KUALA TERENGGANU: Tiada negeri yang memutuskan untuk melaksanakan solat Jumaat dua sesi bagi mengurangkan kesesakan jemaah dan ruang yang terhad meskipun kebenarannya terletak di bawah bidang kuasa negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata buat masa ini kesemua negeri di Malaysia melaksanakan solat Jumaat satu sesi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan.

“Tertakluk kepada pentadbiran agama negeri. Setakat ini apa yang dimaklumkan kepada saya mereka buat pun satu sesi sahaja.

“Setakat ini macam itulah. Ini yang diputuskan dalam majlis muzakarah fatwa kebangsaan. Terpulang pada negeri masing-masing,” katanya.

Zulkifli berkata demikian kepada media pada Program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli Pasca Musa’adah COVID-19 di Kuala Terengganu, Terengganu.

Turut hadir, Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Hilmi Datuk Harun dan Yang Dipertua YADIM, Nasruddin Hassan.

Seramai 1,000 nelayan di seluruh Terengganu yang terkesan teruk COVID-19 telah dipilih menerima bantuan berupa bakul berisi makanan asas. – AlHijrah Online

Leave a Reply